Parliament
Supporting Singaporeans in starting and raising families (Malay speech)

Supporting Singaporeans in starting and raising families (Malay speech)

Muhamad Faisal bin Abdul Manap
Delivered in Parliament on
5
February 2025
5
min read

Tuan

Pengertian frasa “Keluarga adalah tunggak Masyarakat” adalah amat sesuai dengan usul yang dibentangkan ini.  Frasa ini memberi erti keluarga iaitu unit-unit terkecil dalam sesebuah masyarakat memainkan peranan penting dan memberi impak dalam pembentukkan nilai serta pengukuhan sesebuah Masyarakat.

Oleh itu Tuan, apabila ada usaha-usaha yang memberi sokongan dalam memperbaiki kehidupan berkeluarga, ia amat di alu-alukan dan wajib diberikan sokongan yang padu.

Saya dan rakan-rakan saya dari parti pekerja telah memberi pelbagai cadangan serta menekankan peri-pentingnya diadakan skim-skim dan dasar-dasar pemerintah yang lebih mesra keluarga, kurang tekanan dan lebih kebahagian, demi memperbaiki lagi kehidupan berkeluarga di Singapura, dimana dengan sedemikian akan memperkukuhkan lagi keluarga-keluarga Singapura justeru membentuk sebuah Masyarakat yang lebih sejahtera, utuh dan sepadu. 

Tuan, diantara pekara-perkara yang pernah saya suarakan didalam dewan ini adalah tentang cuti paterniti (Paternity Leave) dan cuti penjagaan keluarga (Family Care Leave). Ini dilakukan semasa penggal pertama saya. Selain itu, saya juga telah berulang kali di dalam dewan ini menyuarakan keprihatinan dan keluhan segmen-segmen masyarakat Singapura yang masih dibelenggu dengan cabaran dan keperitan kehidpuan berkeluarga yang menyebabkan mereka rasa terpinggir dan tidak diendahkan.

Pada sesi debat hari ini, sekali lagi saya ingin fokus kepada dua golongan keluarga Singapura yang menghadapi cabaran dengan harapan agar keluhan dan luahan mereka mendapat perhatian yang sebaik-baiknya. 

Tuan, pertama, saya ingin ulangi menyuarakan didewan ini mengenai pihak-pihak isteri atau suami yang sedang menjalani proses penceraian dimana mereka amat gusar tentang mendapatkan tempat berteduh untuk diri mereka dan anak-anak mereka apabila rumah perkahwinan mereka perlu dijual atas arahan mahkamah. Atas kebimbangan ini, individu-individu yang bakal menjadi ibu-bapa tunggal ini, akan membuat permohonan untuk mendapatkan flat sewa dibawah Skim Sewa Awan (Public Rental Scheme). Kebiasaanya bagi kes-kes yang sedemikian HDB akan memberitahu para pemohon untuk menunggu sehingga kes penceraian mereka selesai untuk dinilai dan diproses.

Tuan, tidak dapat dinafikan anggota-anggota dewan ini sering didatangi oleh individu-individu yang dalam situasi yang sedemikian di “Sesi Bertemu Penduduk”.   

Saya akur pihak HDB akan melakukan yang terbaik dalam membuat pertimbangan keatas pemohonan dan rayuan daripada pihak yang bakal menjadi ibu-bapa tunggal ini. Namun saya rasa sistem atau proses yang sedia ada masih boleh diperelokkan dan diperhalusi lagi. 

Apa yang saya ingin cadangkan bagi situasi ini adalah, HDB bergabung dan bekerja rapat dengan pihak agensi-agensi sosial seperti Pusat Khidmat Keluarga (Family Service Centre) dalam mengadakan analisasi yang lebih mendalam dan mengadakan satu sistem pemarkahan untuk mengukur dan menilai tahap kesulitan keadaan para pemohon, sama ada mereka teramat memerlukan tempat perlindungan. Jika hasil dari analisa menunjukkan pemohon dalam keadaan yang serius, tidak mempunyai sokongan keluarga yang terdekat dan juga tidak mempunyai tempat berteduh dan sebagainya, HDB boleh memberikan “in-prinicple approval” walaupun proses penceraian masih belum selesai secara rasmi. Ini sekurang-kurangnya akan dapat memberi sebuah jaminan kepada para pemohon dan sekaligus boleh meringankan tekanan yang sedang mereka alami. Pada masa yang sama proses yang dicadangkan ini dapat mengurangkan waktu menunggu untuk mendapatkan flat sewa bagi para pemohon dan yang lebih penting proses penilaian yang lebih mendalam dan teliti sebegini boleh mengurangi situasi kes-kes terlepas pandang, “fallen through the cracks”.

Tuan, golongan yang seterusnya adalah rakyat Singapura yang telah berulang kali gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan pas lawatan jangka panjang (LTVP) plus bagi pasangan hidup dan juga ahli keluarga mereka samaada anak kandung atau anak tiri yang berkerakyatan asing. Golongan ini sering merintih bahawa mereka tidak dapat merasakan kehidupan berumahtangga dan kekeluargaan kerana sering terpisah akibat dari gagal untuk mendapatkan pas lawatan jangka panjang bagi pasangan dan juga ahli keluarga yang lain. Ada juga kedengaran pasangan yang dibelenggu dengan cabaran ini mengalami penceraian kerana terlalu tertekan dengan kehidupan yang sering terpisah disebabkan gagal mendapatkan pas lawatan jangka panjang.  

Tuan, pada pengamatan saya melalui kes-kes rayuan yang dikendalikan melalui “Sesi Bertemu Penduduk”, boleh dikatakan permohonan-permohonan bagi pas lawatan jangka panjang plus yang sering ditolak adalah dari pemohon-pemohon yang pasangan rakyat Singapura yang mempunyai kedudukan kewangan yang lemah dan juga mereka yang agak sudah lanjut usia.   

Tuan, tertera dalam lelaman ICA bahawa “ICA takes into account factors such as the individual's family ties to Singaporeans, economic contributions, qualifications, age, family profile and length of residency, to assess the applicant's ability to contribute to Singapore and integrate into our society, as well as his or her commitment to sinking roots. 

Tuan, saya setuju bahawa faktor-faktor yang disebutkan ini adalah penting dan perlu. Namun pada masa yang sama, saya juga tertanya-tanya bagaimana seseorang pemohon boleh dapat memenuhi faktor-faktor yang ICA nyatakan. 

Situasi sebegini boleh diumpamakan seperti persoalan “Mana yang datang terlebih dahulu, ayam atau telur ayam”. Bagaimanakah ICA hendak menilai faktor-faktor seperti sumbangan ekonomi, tempoh pemastautinan, keupayaan pemohon untuk menyumbang kepada Singapura dan berintegrasi ke dalam masyarakat kita, serta komitmen  pemohon untuk akar umbi seperti yang disebutkan dalam lelaman ICA, sedangkan para pemohon tak berpeluang untuk berusaha untuk memenuhi faktor-faktor yang disebut kerana mereka hanya boleh berada di Singapura buat masa yang terhad sebagai pemegang pas lawatan jangka pendek.

Tuan, sama seperti apa telah saya cadangkan bagi isu permohonan flat sewa HDB oleh para isteri atau suami yag sedang menjalani kes penceraian, ICA juga boleh bergabung dengan Pusat Khidmat Keluarga (FSC) untuk melakukan analisasi yang lebih mendalam dan mengadakan satu sistem pemarkahan untuk mengukur dan menilai tahap kesulitan keadaan para pemohon. Dengan adanya proses penilaian yang lebih teliti, ini akan dapat membantu ICA untuk membuat pertimbangan yang lebih tepat dan baik.

Apa yang saya fahami, proses ICA yang sedia ada hanya menerima rayuan melalui emel dan e-borang tanpa ada sesi bersemuka (face to face). Saya merasakan usaha sedemikian agak tidak mencukupi bagi mendapatkan penilaian yang komprehensif bagi sesuatu masalah atau isu yang sedang dihadapi oleh mereka yang membuat rayuan keatas permohonan yang gagal.

Tuan, saya berpandangan, dengan meluluskan LVTP plus bagi pasangan rakyat Singapura yang mempunyai kedudukan kewangan yang lemah akan membolehkan pihak pasangan mereka mendapatkan pekerjaan. Ini dapat menambahkan pendapatan bulanan, sekaligus meringankan beban kewangan.

Bagi golongan yang berusia pula yang memerlukan penjagaan, selain pasangan mereka berpeluang untuk bekerja dan menambahkan rezeki, kehadiran pihak pasangan disisi buat jangka masa yang panjang amat diperlukan sebagai teman dalam melalui umur senja dan bagi mereka yang mempunyai isu kesihatan pula, pasangan mereka dapat berkhidmat serta memberi penjagaan yang sebaiknya.

Tuan, sebaliknya implikasi dengan tidak meluluskan pemohonan LTVP Plus bagi kedua-dua golongan ini adalah dugaan kehidupan yang mereka hadapi akan bertambah mencabar serta merumitkan lagi keadaaan kehidupan mereka. 

Saya ingin memohon agar pihak ICA dapat memberi lebih kelonggaran kepada  para pemohon yang berada didalam kedua-dua situasi yang telah saya sebutkan.

Akhir kata, saya berharap agar apa yang saya sampaikan dalam ucapan saya ini dapat diberi perhatian dan dilaksanakan oleh agensi-agensi pemerintah yang berkenaan. Terima kasih, Tuan.

Back to top

Walk with us

Join us in building a brighter future for all Singaporeans. Whether you lend your time, energy, or resources, your support makes a difference.