(Delivered in Parliament on 7 October 2019)
Akta Mengekalkan Keharmonian Agama
Tuan,
Akta Mengekalkan Keharmonian Agama telah dikuat kuasakan pada tahun 1992. Dua prinsip utama akta ini adalah, pertama, agar penganut-penganut agama dalam masyarakat Singapura menjalani kehidupan beragama secara sederhana dan mengamalkan sifat toleransi terhadap perbezaan beragama serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan. Kedua, adalah politik dana agama harus dipisahkan.
Saya akan menyentuh kedua-kedua prisnip ini. Sebelum itu, saya ingin mendapatkan penjelasan dari menteri mengenai satu seksyen baru, seksyen 17F, yang diperkenalkan melalui rang undang-undang pindaan ini. Secara ringkas apa yang saya fahami menerusi keterangan yang diberi adalah bahawa seseorang dianggap telah melakukan kesalahan jika dirinya dengan sengaja terlibat dalam melakukan perkara yang menghina agama atau fahaman agama atau aktiviti seseorang yang lain di Singapura, dimana kelakuan-kelakuan ini (i) menimbulkan perasaan kebencian terhadap agama lain, (ii) melukakan perasaan penganut agama-agama yang lain dan (iii) akan menjejas ketenteraman dan keaturan masyarakat awam.
Saya akan berkongsi sebuah contoh dan harap menteri dapat memberi penjelasan menerusi contoh yang diberi samada ada berlakunya kesalah seperti yang tertera dalam seksyen 17 dalam situasi yang berikut.
Seorang ketua agama atau pendakwah Islam mengatakan dalam sebuah sesi syarahan bahawa ajaran Islam mengatakan Isa itu adalah seorang rasul dan bukan anak tuhan seperti ajaran Agama Kristian, lalu dikatakan lagi bahawa mana-mana fahaman agama yang mengatakan sebaliknya, iaitu Isa adalah anak tuhan, penganut-penganut agama tersebut akan menerima hukuman di neraka. Semasa menyampaikan hujah, pendakwah ini pula menyampaikan mesej sedemikian dalam keadaan yang bersemangat.
Jika berlakunya perkongsian rakaman video sesi ini dilelaman internet, saya rasa berkemungkinan sebilangan besar penganut-penganut agama Kristian boleh rasa tersinggung dan marah kerana mereka beranggapan pendakwah tersebut menghina fahaman mereka.
Namun dari sudut pendakwah yang menyampaikan mesej itu, niat beliau hanyalah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada orang-orang Islam dan beliau tidak berniat atau mempunyai motif untuk melukakan perasaan mana-mana pihak atau menyebabkan pergeseran dikalangan masyarakat yang berbilang agama.
Tuan,
Menerusi interpretasi saya keatas seksyen 17(F) dan juga seksyen berikutnya, iaitu seksyen 17(G), yang menyatakan bahawa motif atau niat adalah tidak relevan dalam menentukan samada seseorang telah melakukan kesalahan seperti yang tertera dibawah seksyen 17(F), pendakwah dalam contoh yang telah saya berikan, akan dikatakan telah melakukan kesalahan dibawah Akta Mengekalkan Keharmonian Agama walaupun motif sebenar pendakwah itu adalah untuk menyampaikan ajaran yang terdapat dalam kitab Al-Quran.
Saya ingin mendapatkan penjelasan dan kejernihan daripada menteri dalam perkara ini sama ada jika berlaku situasi seperti yang diterangkan diatas, adakah pendakwah ini akan didakwa dibawah seksyen 17(F).
Tuan,
Seterusnya, saya ingin menyentuh tentang dua prinsip utama akta ini iaitu, pertama, menjalani kehidupan beragama secara sederhana dan mengamalkan sifat toleransi terhadap perbezaan beragama serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan. Prinsip kedua adalah, politik dan agama harus dipisahkan.
Tuan,
Masyarakat Singapura selalu diingatkan tentang pentingnya integrasi antara masyarakat yang berbilang kaum dan agama demi untuk melahir serta mengekalkan keharmonian. Selalu ditekan mesej-mesej bahawa kesederhanaan dan toleransi adalah diantara unsur-unsur utama dalam mencapai integrasi.
Setiap agama mengarahkan penganut-penganutnya berusaha untuk mencapai serta mengekalkan keharmonian kaum. Saya percaya setiap agama menyeru kepada sifat kesederhanaan dan toleransi demi untuk keharmonian sesama manusia.
Namun Tuan, apakah maksud kesederhanaan dan toleransi dalam beragama?
Adakah kesederhanaan dan toleransi bermaksud penganut-penganut sesuatu agama harus mengkompromi nilai-nilai dan amalan-amalan keagamaan mereka seperti menjadikan diri mereka ‘less Islamic’ dan sebagainya?
Adakah perlu penganut-penganut sesuatu agama melakukan sesuatu yang dilarang atau bertentangan dengan nilai dan ajaran agama mereka baru dia akan dikatakan sebagai seseorang yang mengamalkan kesederhanaan dan toleransi?
Secara peribadi, saya percaya bahawa nilai toleransi yang menjadi tunggak keharmonian agama dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti Singapura boleh dicapai dengan tidak perlu mengadaikan nilai dan pegangan seseorang penganut agama. Pendek kata, tak perlu ‘To be less Islamic’.
Tuan,
Saya ingin berkongsi pengalaman saya semasa saya menuntut di Australia. Saya amat kagum dengan cara masyarakat Australia mengamalkan sifat toleransi dalam menghormati kepercayaan dan ajaran sesuatu agama.
Seorang rakan bapa saya, Encik A, menghantar anak perempuannya ke sebuah sekolah menengah awam perempuan yang terkemuka di Melbourne. Encik A telah meminta kebenaran daripada pihak sekolah untuk membenarkan anaknya untuk mengamal ajaran Islam iaitu memakai pakaian yang menutup aurat. Pihak sekolah telah membenarkan anak perempuan Encik A untuk memakai tudung. Malah bukan itu sahaja, anak nya juga dibenarkan untuk memakai baju lengan panjang serta berpakaian labuh namun masih dalam lingkungan ketentuan pakaian seragam sekolah tersebut dari segi warna dan corak.
Australia walaupun sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dimana para penduduknya berasal dari serata dunia namun mereka mempraktikan prinsip negara mereka iaitu kebebasan beragama. Sebagai sebuah negara dan masyarakat majmuk mereka akui perlunya menghormati ajaran dan kepercayaan penganut-penganut berbagai agama. Mereka tidak mempraktikkan toleransi dengan meyuruh seseorang penganut itu mengkompromi pegangan agama, atau ‘to be less Islamic’ demi integrasi. Sebaliknya, toleransi yang diamalkan oleh masyrakat Australia ialah menghormati kepercayaan dan pegangan sesuatu agama dan mengambil langkah-langkah untuk memberi sokongan supaya amalan sesuatu penganut agama tidak dikompromi seperti apa yang berlaku dalam contoh yang telah saya kongsikan.
Tuan
Satu lagi prinsip Akta ini adalah memisahkan agama dan politik. Saya kurang setuju dengan prinsip ini. Sebagai seorang muslim, Islam difahami sebagai satu cara kehidupan atau ‘A Way of Life’. Islam merangkumi segala aspek-aspek kehidupan termasuk Politik dan cara berpolitik. Saya fahami bahawa agama Kristian juga percaya tidak mungkin agama dapat dipisahkan dengan politik.
Tuan,
Parlimen sebagai sebuah institusi tertinggi dalam pengubalan undang-undang juga membenarkan unsur-unsur keagamaan dalam proses perlantikkan anggota-anggota parlimen dalam upacara ucapan ikrar atau angkat sumpah. Kita dapat melihat semasa upacara ini anggota-anggota Parlimen yang beragama Kristian dibenarkan memegang kitab Bible semasa melafazkan ikrar atau sumpah, dan juga, lafazan ikrar atau sumpah mereka diakhiri dengan frasa ‘So help me God’.
Namun Tuan, saya akur bahawa adalah amat salah jika menggunakan agama demi untuk meraih kepentingan politik. Saya percaya perkara sedemikian adalah terlarang dalam mana-mana ajaran agama. Ini kerana, agama adalah untuk membentuk seorang individu berakhlak mulia dan berjiwa luhur, supaya dirinya dapat meyumbang sebaiknya kepada pembangunan masyarakat dan negara dan bukan untuk digunakan demi memenuhi kepentingan diri sendiri atau sesetengah pihak.
Tuan,
Mengekalkan keharmonian agama adalah tanggungjawab dan peranan bersama, terutama sekali bagi para ketua agama dan pemimpin masyarakat. Setiap anggota masyarakat harus berusaha untuk saling hormat-menghornati terhadap kepercayaan agama lain and mengamalkan sifat tolenransi yang sebenarnya agar dapat mengekal serta mengukuhkan lagi keharmonian agama di negara kita ini.